Muzik
merupakan satu elemen yang boleh diserapkan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Melalui penyerapan elemen muzik, proses pengajaran dan
pembelajaran akan menjadi lebih menyeronokkan. Penggunaan muzik dalam
proses pengajaran dan pembelajaran boleh digunapakai untuk pelbagai
subjek. Contohnya subjek Bahasa Melayu, Matematik, Sains, Pendidikan
Islam, dan sebagainya. Setiap unsur muzik yang diserapkan perlu
mempunyai hubungkait dengan subjek yang diajar.
Penerapan
unsur muzik dalam proses pengajaran dan pembelajaran memang memberi
kesan yang positif. Melalui kaedah penerapan unsur muzik, murid akan
lebih terdorong untuk mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran.
Pemilihan muzik yang bersesuaian dengan suasana dan mood kelas amat
penting bagi menghilangkan kebosanan dalam kalangan murid. Muzik
terdiri dari susunan irama dan melodi yang boleh mendamaikan jiwa dan
sesetengah muzik mampu menaikkan semangat pendengar. Muzik instrumental
iaitu susunan melodi tanpa vokal yang lebih bersifat sentimental mampu
untuk memberikan ketenangan kepada murid dan sesuai digunakan ketika
sesi membaca.
Selain
itu, terdapat juga sesetengah lagu yang mempunyai unsur-unsur
pendidikan seperti lagu Anak Ayam dan Sepuluh Budak Hitam yang
berunsurkan Matematik dan lagu Bangau Oh Bangau yang mengandungi
unsur-unsur Sains. Selain itu, guru juga boleh menggubah lirik yang
berunsurkan subjek yang diajar dan dipadankan dengan melodi yang sesuai
untuk proses pengajaran dan pmbelajaran. Hal ini akan menjadikan proses
pengajaran dan pembelajaran itu lebih menarik.
Penerapan
unsur muzik dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan satu
langkah yang baik dan wajar dilakukan oleh guru untuk mewujudkan satu
kaedah mendidik yang lebih menyeronokkan. Langkah ini dapat menarik
minat murid untuk mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dengan
lebih baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan